Sunday, October 31, 2010

Taknak tinggal-tinggal anak lagi.. =(


Minggu yang memenatkan namun segalanya cukup berbaloi.. Teman baik saya kini sudah bergelar isteri orang.. Majlis yang cukup meriah dan berada di kalangan keluarga Biey membuat saya merasa ‘penuh’.. Gembira sekali.. 

Biey, tahniah.. Kamu kini bergelar Zaujah Amri.. Semoga alam perkahwinan dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan sehingga ke hujung nyawa..
Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, Rayyan Ariff saya tinggalkan bersama ayahnya, adik saya dan bibik di Kuala Lumpur dan hanya saya yang pulang sendirian..
Rindu bukan kepalang namun kerana dia pun baru sahaja pulih dari kesakitan, maka saya memilih untuk pulang sendirian. Sementelah En.Hubby juga bekerja pada hari sabtu..
Menjelang jam dua petang semalam, saya menerima SMS daripada adik lelaki saya..
“Anak tercari-cari ni..”
“Dia nangis ke?”
“Taklah, dia duduk depan pintu bilik. Pastu ketuk-ketuk pintu bilik Kak panggil Mama.. Mama..”
Ya Allah.. Sebegitu dia merindui saya, saya lebih-lebih lagi.. Malam kedua, saya hanya mampu melelapkan mata apabila jam menghampiri detik 2 pagi.. Semua kerana rindu.. Penangan rindu pada Rayyan Ariff melebihi penangan rindukan kekasih hati sewaktu bercinta dengan En.Hubby dahulu.. Besarnya kuasa sang anak! =P
Puas wajah anak kecil itu saya kucup bertalu-talu tatkala dia bersama ayahnya mengambil saya di  lapangan terbang tadi. Persis bertahun tidak bertemu.. =)
Ian, lain kali mama tak tinggal kamu lagi yea.. Weekend ni kita gi kenduri sambut menantu Mama Biey di KL sama-sama yea..

Saturday, October 30, 2010

Ya Allah.. Cepatnya waktu berlalu!

Baru perasan, hari ni betul2 genap 3 tahun setengah usia perkahwinan kami.. Subhanallah, cepatnya masa berlalu.. 
.
3 years.. Time gaduh, gaduh la.. Time sayang, sayang la.. :P
.
Rasa macam baru lagi hujan turun lebat mencurah-curah pada malam akad nikah kami.. Rasa macam baru semalam rumah kami dipenuhi dengan keriuhan kaum keluarga dan sahabat handai dalam meraikan hari penuh bersejarah.. Rasa macam baru lagi saya tidur berseorangan di dalam bilik pengantin yang serba indah.. Maklumlah, selepas akad nikah, pengantin lelaki pulang dahulu.. Selepas majlis bersanding barulah stay lama.. =)
.
Segalanya bagaikan baru semalam. Namun hakikatnya, kami sudah punya Rayyan Ariff dan dia juga bukan lagi anak kecil yang baru dilahirkan, baru selesai berjuang untuk kehidupan di NICU..

Corrected age is 2 years and 3 months. But in actual fact, he's 2 years and 5 months already..
.
Ya Allah.. How time flies!! Feels like just a blink of our eyes kan?
.
Hari ni, hari bersejarah buat teman yang sudah bertaraf adik beradik dalam kehidupan saya.. Rasa berbaur membawa saya mengimbau kembali kenangan lalu..
.
Dan setelah tiga tahun setengah berkahwin, ini kali pertama saya pulang ke kampung bersendiri.. Tidur di bilik bujang saya yang sudah 3 tahun setengah juga bertukar kepada bilik 'keluarga'.. Rasa janggal. Rasa kosong. Rasa rindu. Kerna itulah saya tidak dapat melelapkan mata..
.
Rindukan Rayyan Ariff.. Rindukan ayahnya.. Rindu.. *sigh*
.
Sewaktu saya membeli tiket penerbangan untuk pulang, Rayyan Ariff masih belum sihat sepenuhnya. Maka saya mohon kebenaran hubby untuk pulang sendirian. Tidak mahu mengusung Rayyan Ariff ke sana ke mari. Lagi pula, hanya satu malam sahaja.. Namun tidak disangka, Rayyan Ariff pulih sepenuhnya.. Disebabkan segalanya sudah disusun, saya teruskan sahaja dengan pelan asal..
.
Semuanya masih sama seperti dahulu.. Yang berbeza ialah, my weight is 16kg heavier than 3 and a half year ago! :P
.
Pengantin inilah teman yang bersama-sama berjaga malam dengan saya, mengelap tubuh Rayyan Ariff sewaktu dia demam teruk tempoh hari dan hubby masih di hospital. Pengantin inilah yang sentiasa bersama saya di dalam susah dan senang.. *14 years of friendship and getting stronger*

Friday, October 29, 2010

Disebalik setiap kesakitan dan perjuangan yang panjang..


Disebalik setiap kisah kesakitan dan perjuangan yang panjang ini, kami sangat bersyukur di atas setiap huluran persahabatan.. Kami sangat berterima kasih di atas setiap kalungan doa.. Sangat-sangat berterima kasih..

Terima kasih,
Pada yang menghantar email dan message untuk menyatakan sokongan..
Pada yang meninggalkan komen dengan kata-kata yang membina..
Pada yang memanjangkan tali silaturrahim dengan memulakan perkenalan menggunakan Internet sebagai medium..
Pada yang mengadakan solat sunat hajat..
Pada yang menderma kepada yang memerlukan di atas nama Rayyan Ariff..
Pada yang sudi mengikuti kisah kami..
Pada yang sudi datang menziarah..
Pada yang sudi bertanya khabar..
dan..
Pada yang TIDAK PERNAH PUTUS MENDOAKAN KAMI..
.
Rayyan Ariff ada abang dan kawan baru.. Terima kasih Kak Ayuzafina..
Terima kasih di atas persahabatan..
Jujurnya, ada rasa malu dan segan apabila ada beberapa orang yang mengikuti kisah Rayyan Ariff meminta kebenaran saya untuk mengadakan solat sunat hajat untuk Rayyan Ariff sewaktu episod kesakitan yang lalu. Tidak mahu dikatakan meminta-minta. Namun kerana ikhlasnya niat untuk melihat kesembuhan pada tubuh kecil yang kesakitan, saya redha.. 
.
Mungkin inilah rezeki.. Dan Alhamdulillah, menyaksikan kesihatan yang dikembalikanNya, hanya ucap syukur yang mampu terlafaz.. Terima kasih di atas doa yang diutuskan.. Terima kasih..
.
P/s - Kak Nie, thanks air.. :-)

Thursday, October 28, 2010

Usaha lebih kuat untuk diri sendir!! =)

Rayyan Ariff managed to pull himself up to standing position 2 days ago.. It has been quite a while since he did it the last time..
..
But the thing is, he did it only once.
 .
.
Hmmm, we need to encourage him to work harder..
=)
.
Dengan Rayyan Ariff, kadang-kadang terasa diri macam hamster.. Berlari berulangkali di tapak yang sama.. 
.
Kami usaha untuk dia, sawan datang.. Perkembangan terganggu, kami kembali ke petak mula.. 
Kami usaha lagi untuk dia, sawan datang lagi.. Perkembangan terganggu lagi, kami kembali lagi ke petak mula..
.
Macam hamster.. Hehehehe.. :P

Wednesday, October 27, 2010

Wajah-wajah mereka yang berhati besi.. Berjiwa kental..

Inilah di antara wajah-wajah mereka yang mempunyai jiwa yang kental.. Wajah-wajah mereka yang bersemangat juang yang tinggi.. Mereka yang diberikan peluang untuk menjaga anak-anak syurga, InsyaAllah..

Bersama mereka, jiwa meruntun sayu.. Bersama mereka, ada rasa dimiliki.. Bersama mereka, tiada diskriminasi, tiada rendah diri..
.
Yang ada hanya kami, dan anak-anak yang terlalu sempurna kejadiannya.. Anak-anak yang terlalu indah keadaannya..

Abi, Ummi dan Sarra..
.
Setiap kali bertemu, pasti saya tidak akan melepaskan peluang memangku, memeluk dan mencium Alisya Qaireen aka Sarra. Begitulah juga pada pertemuan pada hari sabtu yang lalu.. Sesekali, badannya mengeras sewaktu dia di dalam pangkuan saya.. Sekaligus, mata hitamnya tertolak ke atas untuk beberapa ketika. Persis keadaan Rayyan Ariff sewaktu diserang mild seizures yang singgah untuk beberapa saat.. Terbeliak di dalam kadar yang singkat.
.
Ummi Alisya berbisik lembut pada anaknya, memujuk agar melembutkan badan putih gebu itu. Dan setelah itu, badan Alisya Qaireen kembali seperti biasa.. Umminya kembali meneruskan perbualan sambil menjamu selera bagaikan tiada apa yang berlaku. Mungkin pandangan ini biasa baginya lantas tiada rasa cemas..
.
Sungguh kuat. Hati besi.
..
Mummy, Daddy dan Abg Nadime
.
Pastinya sang bidadari syurga, Alanna Qish mewarisi kekuatan daripada mereka-mereka ini. Mummy yang tidak pernah jemu berbakti di setiap ruang kegembiraan dan kesakitan si anak. Daddy yang tidak pernah jemu menabur kasih dan cinta yang terlalu mendalam buat puteri tercinta. Dan abang yang cukup matang menerima erti kesakitan dan kehilangan seawal usia 2 tahun.
.
Syafil Nadime punya ramai ibubapa. Dan hati saya dicuit kegelian apabila dia menghafal dan menyebut satu persatu nama panggilan kami sambil jari kecilnya menuding ke arah kami. "Ibu, Ummi, Mama, Ayah, Abi.." Separuh berbisik.
.
Sungguh dia anak yang bijak. Kesakitan sang bidadari syurga memberi ruang kepada si abang untuk berdikari. Dia terpisah dari mummy, daddy dan adiknya di saat-saat Alanna Qish menjadi penghuni setia HKL. Dia membesar sebelum usia.

Sungguh kuat. Hati besi.
.
Ibu dan Nabila. Ayah menjadi photographer..
.
Sebagai anak kecil, Yasmin Nabila melalui trauma yang bukan sedikit. Tubuh itu sering diuli pelbagai therapist namun hidup adalah satu perjuangan yang memerlukan dia untuk terus kuat.
.
Ibunya bersemangat waja, setiap hari tanpa jemu membelah dingin pagi dari Bukit Sentosa ke Ampang untuk memastikan si anak dapat bersekolah. Setiap minggu si ibu dan ayah memastikan segala keperluan si anak dipenuhi.. Ke PDK, Tasputra dan temujanji di hospital tanpa ada rasa jemu. Dan hari minggu pula diisi dengan rawatan Kak Raw di Gedangsa.
.
Melihatkan Yasmin Nabilah pada hari ini bagaikan melihat pada pengorbanan dan titik peluh ayah dan ibu. Hasil yang bukan sedikit. Subhanallah..
.
Sungguh kuat. Hati besi.
.
Babah dan Aiman si Batman..
.
Kedua-dua Mama dan Babah Aiman ataupun Ammar Nazheef ini masih muda. Ayahnya sebaya saya dan ibunya beberapa tahun lebih muda. Namun usia bukan pengukur kebolehan menjadi ibubapa kerna apa yang ada pada mereka melebihi gambaran fizikal.
.
Dan sepertimana saya mengambil peluang memeluk Alisya Qaireen, Ammar Nazheef juga tidak terlepas menjadi 'mangsa' peluk cium saya.. Sewaktu rancak berbual dengan ibunya sambil tangan saya setia memangku Aiman, kedengaran tangisan kuat yang tercetus secara tiba-tiba. Bagai gunung berapi yang meletup!
.
Saya terperanjat dan cuba memujuk. Lantas tubuh comel milik Ammar Nazheef bertukar tangan kepada mama dan babahnya. Ammar Nazheef tergigit bibirnya sehingga berdarah.. Babah dan mamanya tidak henti-henti memujuk untuk meredakan tangis si kecil itu. Setelah beberapa detik, Ammar Nazheef terdiam..
.
"Ni sawan ni. Dia tak sedar bila attack tu datang. Bila kena, dia jadi tergigit bibir.. Habis bibir dia.. Bila dia sedar terus la nangis sakit.. Memang jadi spontan so susah nak control. Bila dah jadi, buatlah apa pun susah nak stop. Paling lama penah dia gigit bibir sampai 15 saat. Darah menitik-nitik.."
.
Terang babah.
.
Subhanallah.. Kental sungguh keluarga ini. Saya sendiri menahan titis air mata sewaktu mengimbas kembali ayat di atas. Namun mereka tenang.. Tenang setenang tenangnya..
.
Sungguh kuat. Hati besi.

Alisya Qaireen si putih gebu..

Yasmin Nabilah yang diserang demam.. Syukur Alhamdulillah kerna dia kembali pulih..

Syafil Nadime, Abg Long yang penuh dengan kasih sayang..
Mama dan Ammar Nazheef aka Aiman..
Yours truly.. =)

Foto-foto ini dirakam oleh Ina ibu Yasmin Nabilah pada kenduri kesyukuran di rumah kami tempoh hari.. Walaupun kekurangan 3 keluarga lagi, pertemuan kami pada kali ini cukup memberikan seribu satu rasa buat saya dan tidak ketinggalan buat kaum keluarga saya yang tidak pernah mengenali mereka.
.
Sungguh saya bersyukur di atas jalinan persahabatan ini!! Anak-anak ini membuka mata kami untuk terus kuat melangkah.. Terus kuat.. InsyaAllah.
.
Semoga doa kalian juga senantiasa mengiringi kami.. =)
.
P/s - Ayue mama Aisya, next time memang kena join the club! Icazisyira, maybe next time kita fix date upfront.. :P

Tuesday, October 26, 2010

Ruang waktu yang kesuntukan..

Ingin berbicara tentang banyak perkara namun kesuntukan waktu menjadi penghalang.. 
.
Rayyan Ariff? He never fails to amaze us with his progress. He understands instruction better nowadays. He even reacts to a simple "No".. If he's doing something that he's not supposed to do, just call his name and say "No", he'll stop. =)
.
He's cheekier.. Kacau Nabila, anak dara Ina.. His obsession towards others' feet is absurd! Pelik betul!!
So many things to blog about with so little time..
Till then! =)

Monday, October 25, 2010

Solat sunat hajat dan kenduri kesyukuran..

Alhamdulillah.. Putera tercinta kembali pulih seperti sedia kala..Semakin lasak dan akalnya juga semakin panjang.. Dan kerana episod kesakitan yang berlarutan ini telah berlalu pergi, kami melunaskan hasrat untuk mengadakan solat sunat hajat dan kenduri doa selamat, tanda kesyukuran di atas nikmatNya..
.
Maaf kerana tidak memanjangkan jemputan kepada semua kerna hanya ibubapa, orang surau, adik-beradik dan sepupu-sepupu sahaja yang diundang. Tidak ketinggalan, hubby mengajak beberapa orang teman sepejabatnya dan meminta agar keluarga superkids turut serta.. itu sahajalah jemputan yang ada. Maklumlah hanya kecil-kecilan sahaja..
.
Majlis dimulakan dengan solat zohor berjemaah, solat sunat hajat, bacaan yassin dan doa selamat sebelum diakhiri dengan acara menjamu selera..
.
Hubby's side of the family..

The food: Nasi daging+kari ayam+acar timun+sambal belacan, spaghetti bolognese, samosa,cake, betik, pisang, duku, rambutan..
L-R, Ian with Nabila, family superkids, Ian with Tok, My BIL, cousin and hubby's godmother..
Itu sahaja. Majlis yang ringkas namun saya mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat yang sudi hadir.. =)

Sunday, October 24, 2010

Stop treating him like a baby..

Yesterday, my brother and his friend brought Rayyan Ariff to see his speech therapist because I was busy with the cooking and groceries shopping..
.
And this is the message that I got from the therapist;
.
"Please tell the mother to stop treating him like a baby because he's one smart child. Get him more educational toys for much older age because his thinking process is good. I havent seen him for a month but he's showing good progress.. Just treat him like any other toddler.."
.
Ok, this is big.. No, this is huge.. Even 5 years, 10 years, 20 years and even 50 years from now, he'll always be my baby.. *sigh, Ian is growing up so fast.. Right before my eyes..*
.
Rayyan Ariff, you're no longer my small and fragile pre-term baby.. Lepas ni bancuh susu sendiri yea.. :P

Friday, October 22, 2010

Kalau bukan kita, siapa lagi?? Kalau bukan sekarang, bila lagi??

Semalam, lama saya berbicara dengan rakan seperjuangan saya di telefon iaitu Ina, Ibu Yasmin Nabilah. Sekadar bertanya khabar dan bercerita tentang kehidupan dan tentunya, tentang stimulasi untuk anak-anak tercinta.
.
Perkenalan saya dan Ina bermula di dunia blog dan di atas dasar matlamat yang sama iaitu membangunkan anak-anak kami, perkenalan di dunia siber di sambut dengan pertemuan pertama pada majlis ulangtahun pertama Yasmin Nabila dan Alisya Qaireen, seorang lagi anak yang cukup istimewa di dalam keluarga superkids kami.
.
Di setiap pertemuan, kami seringnya berbicara tentang hati dan perasaan, tentang bicara dan persepsi manusia yang kurang peka dengan keadaan anak istimewa, tentang cerita dan peel anak-anak, dan yang paling penting, tentang stimulasi dan rawatan untuk anak-anak ini. Kami berkongsi minat dan kemahuan di situ kerana di hati kami ada persamaan untuk memulih dan membantu anak-anak kami.

Ina yang baru sahaja menghabiskan cuti separuh gaji selama sebulan bercerita tentang perkembangan Yasmin Nabilah. Alhamdulillah.. Sungguh tidak disangka ini adalah anak yang sama yang saya temui lebih setahun yang lalu. Sekarang ini, mulutnya lebih bising.. Dan mindanya lebih peka  kepada keadaan sekelilingnya. Syukur Ya Allah!

Panjang bicara kami. Dari satu cerita ke cerita yang lain. Dan sungguh saya bangga dengan sahabat saya yang ini.

Kejayaan tidak akan datang tanpa usaha. Jangan diukur kejayaan dengan melihat kepada kesembuhan si anak secara seratus peratus. Kerna pada saya, kejayaan itu sebolehnya dinilai pada usaha yang diberikan dan kemajuan yang ditunjukkan, walaupun sedikit. Bersama anak-anak ini, usaha tidak akan pernah mencukupi. Makanya, kita sebagai ibu dan bapalah yang perlu menolak diri untuk anak-anak ini lebih maju.

Ada ibubapa kepada anak-anak istimewa yang bertanyakan apa jenis rangsangan dan rawatan yang kami lakukan untuk Rayyan Ariff. Dan saya tidak pernah ingkar untuk berkongsi kerana apa salahnya anak-anak ini membangun bersama? *Sharing is sexy bak kata Jiji Triplecolourlife..*

Namun yang sedikit menyentuh hati saya ialah apabila perkongsian itu berakhir dengan sia-sia kerana ianya tidak dimanfaatkan ke atas si anak. Alasan biasa yang saya terima adalah kekangan masa. Sungguh saya akui perkara yang satu ini kerna saya juga bergelut dengan masa kerna saya sering pulang lewat dari pejabat. Mungkin ada kelebihan di pihak saya kerna kami punya pembantu rumah makanya setelah pulang dari kerja, tumpuan saya hanyalah pada Rayyan Ariff dan ayahnya yang seringkali meminta saya memasak.

Contohnya semalam, saya tiba di rumah setelah jam 10 malam. Usai mandi dan solat isyak, saya mendapatkan Rayyan Ariff yang leka bermain dengan bibik. Terus sahaja saya memakaikan hearing aid padanya, dan melakukan beberapa senaman – pushing himself from sitting position to standing, and cruising. Ragam si anak anak, apabila dipaksa, meraunglah dia. Beberapa kali saya lakukan perkara itu sebelum saya beralih kepada permainannya pula. Kereta, jigsaw puzzle, shape sorter dan apa sahaja mainan kegemarannya.

Penat? Memang saya penat kerana kerenah anak kecil sukar diterbak. Ditambah pula mata yang mengantuk namun momen-momen sebegini adalah sesuatu yang amat saya hargai. Cukup sejam bermain dan bersenam, saya membawa Rayyan Ariff ke bilik untuk ditidurkan sebelum saya sendiri terlelap. Di sini minda saya memujuk, biarlah hanya sejam daripada tidak ada langsung.

Dan paling penting, stimulasi bukan hanya terhad di satu tempat sahaja kerna ia boleh dilakukan di mana-mana. Sebagai contoh, setiap kali saya membawa Rayyan Ariff keluar dari kereta, saya akan menyuruh dia menutup pintu kereta itu sendiri. Walaupun tidak kuat dan saya perlu mengulangi perbuatannya namun saya tidak kisah. Kerna saya sebenarnya sedang mengajar, pintu kereta itu perlu ditutup dan ini adalah perkara asas dan Alhamdulillah, sudah lama perbuatan ini menjadi tabiat Rayyan Ariff setiap kali turun dari kereta.
.
Rayyan Ariff di usia 11 bulan. Sementara menantikan giliran bertemu doktor kerana dia cirit birit, saya meletakkan dia di dalam keadaan meniarap agar dia berusaha mengangkat lehernya. An effort to have a better head control..

Di Taman Indera Putra.. 1 year plus.. Permulaan belajar berdiri.. Berdiri pun senget coz he was trying to hold his upper body up..

Di atas hanyalah beberapa contoh yang saya praktikkan. Mungkin saya tidak dapat bercuti lama untuk membangunkan Rayyan Ariff seperti tahun lalu, namun saya tidak akan berhenti berusaha untuk anak ini.

Usaha yang kita curahkan kepada anak-anak ini pada waktu sekarang adalah bekalan mereka di kemudian hari. Mungkin saya tidak layak untuk berbicara tentang ini kerna anak saya masih jauh dari matlamat yang disasarkan, namun sekurang-kurangnya dia sudah sampai sejauh ini.

Saya tahu, setiap anak berbeza pencapaiannya dan mereka tidak boleh sesekali dibanding-bandingkan. Saya sendiri sudah lama berhenti membandingkan pencapaian Rayyan Ariff dengan anak-anak yang mempunyai diagnosis yang sama dengannya. Dan setiap kali saya melihat anak yang lebih maju dari Rayyan Ariff, saya tanamkan azam untuk lebih berusaha agar satu masa nanti Rayyan Ariff juga akan dapat mencapai perkara yang sama..

Kalau anda merasakan kondisi anak anda teruk, ingatlah bahawa anak saya dilahirkan di dalam keadaan hampir tiada sel otak. Anak saya dikatakan tidak dapat melihat dan mendengar sewaktu usianya sebulan. Anak saya mendapat serangan sawan dan masih di dalam rawatan semenjak usianya 10 bulan lagi. Anak saya sudah di sorong ke dewan pembedahan sebanyak 5 kali sepanjang usianya.
.
Sel otak adalah yang berwarna putih..
Dan kalau saya rasakan kondisi anak saya teruk, ramai lagi anak-anak diluar sana yang lebih teruk duduknya daripada Rayyan Ariff. Makanya, jangan melihat perkara yang lalu dan teruslah memandang ke hadapan. Yang penting kita teruskan berusaha kerna yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang!

Saya sudah banyak kali menangis dan saya tidak boleh berjanji untuk berhenti menangis kerna tangisan adalah terapi yang cukup melegakan untuk saya. Namun tangisan bukan bermakna saya lemah, tangisanlah yang membentuk saya sepertimana saya di saat ini! Kuat, kuat dan terus kuat.

P/s – Ina, *angkat kening*.. Ingatan untuk kita bersama yea.. Untuk Jiey, untuk Ina.. =)

Thursday, October 21, 2010

Kalau saya punya wang berjuta, kalau saya punya ruang bertahun..

Kebelakangan ini, terasa bagai ada sesuatu yang menyesakkan fikiran ini. Hati bagai dihambat rasa bersalah setiap kali melihat Rayyan Ariff yang asyik bermain, Rayyan Ariff yang leka menonton televisyen, Rayyan Ariff yang seronok di bawa berjalan, Rayyan Ariff yang penuh dengan keterujaan..

Betapa kekurangan Rayyan Ariff semakin jelas dan nyata dan betapa kurangnya saya sebagai seorang ibu yang tidak mampu bersamanya sepenuh masa untuk membantu.. Dalam beberapa bulan lagi, Rayyan Ariff bakal menjejak usia 3 tahun namun masih banyak yang belum dicapainya..

Saya menyoroti satu persatu entri lama di bawah label “development” dan mula tersenyum melihatkan pencapaiannya. Namun mata saya terhenti lama pada entri ini dan ini. Betapa prospek cerah yang dimiliki oleh Rayyan Ariff berlalu begitu sahaja. Betapa potensi anak ini bagaikan terabai tanpa rangsangan yang sepatutnya.

Segalanya berlaku apabila saya kembali bekerja setelah bercuti tanpa gaji tempoh hari. Mulai saat itu perkembangan Rayyan Ariff juga turut perlahan, sepertimana kurangnya penglibatan saya dengan setiap aktiviti stimulasi untuknya. Sungguh hati ini terasa ralat. Terasa bersalah.

“Kalau adik cuti lagi setahun, abang yakin dengan izin Allah SWT, Ian mesti boleh berjalan dan bercakap.. Kalau abang mampu, memang abang suruh adik cuti lagi..” Ujar hubby kepada saya.

Namun keperluan kehidupan tidak memungkinkan saya menyambung cuti lagi. Biaya perubatan Rayyan Ariff sahaja biasanya mencecah RM2000 sebulan, belum lagi perbelanjaan dan keperluan yang lainnya. Sewaktu saya bercuti tanpa gaji tempoh hari, memang kesakitan dari segi kewangan sangat terasa. Ibarat memakai kain yang senteng, ditarik bahagian hadapan, bahagian belakang yang terselak. Ditarik bahagian belakang, bahagian depan pula yang terdedah. Namun syukurlah tuhan masih memberikan jalan dan ruang buat hambaNya.

Dan sayangnya apabila saya terpaksa mula bekerja di saat Rayyan Ariff sedang menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.. Kini, dengan waktu yang terhad, saya cuba melakukan segalanya. Sudah lama Rayyan Ariff tidak pergi berenang. Sudah lama Rayyan Ariff tidak berbuai. Di waktu saya punya kesempatan untuk pulang awal dari pejabat, sedayanya saya cuba memanfaatkan waktu yang ada untuk aktiviti-aktiviti ini. Waktu malam juga agak terhad untuk kami melakukan stimulasi kerna Rayyan Ariff sudah agak cranky dan hanya mahu berbaring dan berguling-guling di katil.

Namun sesuatu yang agak melegakan ialah setelah Rayyan Ariff kembali sihat, dia sudah kembali menerima alat bantu pendengarannya kembali. Cuma tempoh pemakaian masih tidak lama kerna setelah beberapa ketika, dia akan menarik alat itu dan cuba mencampakkannya jauh-jauh. Kita usaha lagi yea nak..

Dengan waktu yang suntuk ini, mungkin perlahan-lahan, saya terpaksa mengubah rutin Rayyan Ariff untuk disesuaikan dengan jadual harian saya dan tidak boleh lagi untuk memenuhi kemahuannya sahaja. Kali ini, biar dia yang mengikut jadual yang saya susunkan. Biar dia yang mengikut waktu tidur yang saya aturkan untuknya. Saya terpaksa menentukan segalanya agar dia dapat terus berkembang.

Semoga perjuangan ini dipermudahkan segalanya.. Aminnn..
.
Semoga terus ada ruang untuk saya berusaha membangunkan anak ini..

Wednesday, October 20, 2010

"Saya jumpa belog ibu yang kuat!" And so I said..

Saya terjumpa satu blog yang diagnosis anaknya lebih kurang sama dengan anak saya.
Belog milik seorang wanita berkulit putih. Minah saleh bahasa pasarnya.
.
Masa anak itu masih dalam kandungan - Doktor kata, anak itu takkan survive. Tapi anak itu masih ada sehingga ke hari ini. Malah  usianya beberapa bulan lebih tua dari Rayyan Ariff..
Masa anak itu sudah lahir - Doktor kata, mata anak itu tidak nampak. Tapi anak itu masih punya deria penglihatan cuma agak delay.
Masa usia anak itu dua bulan - Doktor kata, kerosakan otak anak itu terlampau teruk dan sel-sel otak itu tak mungkin tumbuh lagi..Tapi malangnya dalam kes anak itu, ramalan doktor kali ini betul berdasarkan ujian yang dilakukan beberapa hari yang lalu.
.
Tapi ibu itu tetap positif dan terus percaya dengan kekuasaan tuhannya..
Maka saya juga harus terus positf.
Kerana Allah SWT telah mengurniakan banyak rahmatNya buat Rayyan Ariff..
Dari  sebesar-besar ramalan hinggalah ke sekecil-kecil perkembangan..

.
Semalam, pulang dari pejabat, saya disambut oleh sapaan Rayyan Ariff yang sedang duduk bermain puzzle ABC nya..
Pagi tadi pula, tidur saya dikejutkan oleh gelak tawa Rayyan Ariff yang asyik menekan butang on dan off pada alat kawalan jauh penghawa dingin..
Dan pagi tadi juga, saya meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja dengan dihantar oleh senyuman dan lambaian tangan Rayyan Ariff..
Ya Allah, besarnya nikmat sihat yang Engkau berikan..
Episod kesakitan membuatkan kami lebih menghargai kurniaan sihat yang Dia berikan..
Syukur Alhamdulillah..

Tuesday, October 19, 2010

Lagenda Mokcik Laser ~Better than Lagenda Budak Setan~

Betul. Lagenda Mokcik Laser ni kalau difilemkan, lagi hebat dari Lagenda Budak Setan. Mesti box office kan?? Kalau ada yang mahu bikin filem Lagenda Mokcik Laser ni, saya sanggup tawarkan diri menjadi penulis skrip agar jalan ceritanya lebih real.. Maklumlah, berdasarkan pengalaman peribadi..
.
!@Syarul daddy Nadime Alanna pernah menyebut tentang Lagenda Makcik Setan.. Syarul, kali ni ko kalah.. Sebab mokcik yang ni lagi power dowh@!
.
Mokcik Laser pernah menyentuh hati saya di dalam entri "Dan Kamu" Waktu itu, saya begitu berkecil hati dengannya.. Kerna dia adalah ahli keluarga.. Sampai sekarang ayatnya masih terngiang-ngiang di telinga ini..
.
"Owh, Alimin baru jugak dapat anak. Anak lelaki.. Tapi tu lah, anak dia cacat.." Cerita Mokcik Laser kepada kawannya yang juga baru menerima kehadiran orang baru.
.
Waktu itu saya marah. Waktu itu saya sedih. Waktu itu saya geram. Waktu itu saya benci. Pakar perubatan belum lagi membuat penilaian tentang keupayaan Rayyan Ariff namun dia terlebih dahulu memberikan prognosisnya. Apa salahnya kalau dia berdoa sahaja untuk kesejahteraan anak saya yang juga ahli keluarganya. Bukannya menjaja cerita ke sana sini.
.
Sudah sering dia mengeluarkan ayat-ayat kurang enak buat Rayyan Ariff. "Alahai.. Dah umur dua tahun baru pandai mengesot?? Lambat yea dia.."
.
Saya senyum. Sebab saya tahu, hanya mulutnya begitu. Hatinya tetap sayangkan Rayyan Ariff.. Tapi kalau sudah sering disumpah seranah begitu, anak sekecil Rayyan Ariff pun tahu berkecil hati. Rayyan Ariff sememangnya tidak sukakan dia. Tidak mahu didekati oleh Mokcik Laser itu. Baru sahaja Mokcik Laser memandangnya dia sudah menangis sekuat-kuatnya, belum lagi didukung atau dicium!
.
"Seksanya menjaga anak lelaki yang seorang ini.." Ujar Mokcik Laser sewaktu Rayyan Ariff merengek tidak mahu duduk diam sewaktu kami melawat En.Hubby di hospital tempoh hari. Lalu bibik menyatakan ketidakpuasan hatinya kepada saya,
.
"Kasihan Rayyan. Apalah dosa Rayyan padanya.. Kalau Rayyan tidak mahu duduk diam sekalipun, bukan tangan dia yang menuntun Rayyan. Bukan dia yang membawa Rayyan berjalan.. Kan saya yang menjaga Rayyan.. Padahal Rayyan itukan keluarganya.. Pelik sungguh.."
.

Budak yang asyik mahu berjalan..
.
"Saya doa-doa kak.. Biar cepat Rayyan bisa jalan sendiri. Biar cepat Rayyan bisa bercakap. Baru tahu dia.. Semua ini kan kuasa tuhan!" Sambung bibik lagi..
.
Kejadian malam tadi pula?
.
=P
.
Mokcik Laser masih enak lagi bercerita, "Owh, anak sedara si Timah tu pun pakai alat kat telinga jugak.. Sama macam Rayyan.. Tapi dia tak cacat.. Cuma tak boleh bercakap lagi walau umur dah 4 tahun. Bila bawak ke hospital, Doktor suh pakai alat tu.. Sekarang ni baru boleh bercakap.. Tapi Rayyan tak boleh bercakap jugak walaupun ada alat tu.."
.
Ok Mokcik. Noted with thanks. Dua isi penting di dalam ayat di atas adalah anak saya cacat dan anak saya belum mampu berbicara walaupun dibekalkan dengan alat bantu pendengaran berharga RM8600 sepasang. 
.
Terus saya hentikan perbualan dengan alasan yang sengaja direka. Malas mahu mendengar bicaranya..
.
Marah?? Tidaklah! Dua tahun 5 bulan bersama Rayyan Ariff cukup membuka mata bahawa Rayyan Ariff punya banyak kekurangan berbanding anak lain seusianya. Letaklah apa sekalipun istilah yang kalian inginkan; cacat, OKU, disabled, anak istimewa, semuanya membawa maksud anak saya tidak normal. Semuanya merumuskan bahawa anak saya tidak sempurna. Biarlah. Mana mungkin saya menidakkan fakta itu.
.
Normal dan sempurna itu subjektif. Tapi bukankah semua ciptaan Allah itu sempurna?
.
Buat Mokcik Laser dan mereka-mereka yang mempunyai pemikiran yang sama, hanya ada satu pesanan buat anda.. Apabila Allah SWT mengurniakan anak seistimewa Rayyan Ariff kepada saya, mungkin Dia melihat satu keistimewaan pada saya yang tidak ada pada kamu. 
.
Apabila Allah SWT mengurniakan anak seistimewa Rayyan Ariff kepada saya, mungkin Dia mahu melorongkan jalan ibadah kepada saya dengan dijanjikan ganjaran pahala sebagai bekalan di akhirat kelak. 
.
Dan apabila Allah SWT mencipta insan seistimewa Rayyan Ariff, tidak perlulah kamu jadikan makhluk Allah ini tiket untuk memperoleh dosa kering apabila kamu tidak henti-henti menyakiti hati orang lain dan memandang hina hakikat kejadian umatNya ini..
.
Sekian. Inilah Lagenda Mokcik Laser! :P

Monday, October 18, 2010

Transformasi seorang anak kecil bernama Rayyan Ariff.. =P

Sesetengah mereka yang baru sahaja mengikuti kisah Rayyan Ariff menyatakan bahawa Rayyan Ariff kini cukup berlainan sekali sewaktu dia masih bayi.. Indirectly, lebih comel berbanding zaman bayinya.. :P
.
It's ok. Saya tidak terasa kerana sebagai bayi kecil, Rayyan Ariff tidak pernah mendapat jolokan comel.. Malahan menjelang usianya 4-5 bulan barulah saya 'perasan' bahawa raut wajah Rayyan Ariff menarik dengan caranya tersendiri (read : beauty lies in the eyes of the beholder, kang tak pasal2 ada yang kata mama Ian ni perasan!)
.
"Abang, Ian comel tak?" Tanya saya kepada Hubby.
"Comel.." Hubby menjawab pendek..
"Ian comel as a baby ke, atau Ian comel because he's your son? Bertanya lagi kerana belum puas dengan jawapan yang diberikan.
"Comel as a baby.." Jawab En.Hubby..
.
Kenapa saya bertanya begitu? Kerana pada semua ibubapa, anak merekalah yang paling comel.. paling cantik.. paling segala-galanya. Dan saya juga begitu.. Walaupun pada awalnya Rayyan Ariff tidak begitu comel sehinggakan saya tidak dapat mengecam wajah tanpa membaca tag namanya setiap kali menjenguknya di Neonatal Intensive Care Unit, namun dia tetap comel di mata dan jiwa saya.. Kerana dia adalah putera hati saya.. =)
.



.
Trauma demi trauma yang dialami anak kecil ini meragut wajah comelnya.. =(
.
Ramai yang mengatakan Rayyan Ariff semakin cerah kulitnya apabila dia membesar.. Namun saya hanya tersenyum kerna saya sudah maklum dengan 'pertukaran' warna kulit bagi bayi pramatang..
.








Premature infants usually have very thin pink, red, or dark skin, with very little fat, which means they have difficulty maintaining a normal body temperature. Because the skin is so thin, the veins are clearly visible. These infants are very small in size and weight, have little hair, and a relatively large head. The external organs may be perfectly formed; however, boys may have a very small scrotum, with one or both testicles undescended.
.
source: http://www.hmc.psu.edu/childrens/healthinfo/pq/prematurity.htm 
Dan berdasarkan pemerhatian saya kepada bayi pramatang lain dan Rayyan Ariff sendiri, sememangnya fakta di atas benar.. =)
.







.
Transformasi yang nyata dalam waktu yang singkat?? :P
Itulah kebesaran tuhan..

Sunday, October 17, 2010

Tertunailah niat dihati yang sekian lama tertangguh!!


.
Alhamdulillah.. tertunailah sudah niat di hati.. Niat yang menjadi hutang melebihi dua tahun lamanya..
.
Tuan Rayyan Ariff??
.
.
=)
.

Ni sibuk nak tolong jemur kain kott.. :P
.
He's everywhere!!!
Tinggal kejap gi amik towel jer, dia dah sampai kat balcony.. Hehehhe.. Alhamdulillah.. He's getting stronger and happier too.. Laughing throughout the day.. =)
.
Tuan Alimin??
Laaaagiii la everywhere!!
Semalam kantoi main bola.. Pagi tadi tunjuk lutut bengkak..
Pastu bising, badan abang ni kejap sejuk kejap panas.. Abg makan je muntah..
Macam2 la..
.
*wat taktahu jer.. penyakit cari sendiri*